Rangkuman Belanjawan 2011 Part 2

Rangkuman Belanjawan 2011 Part 2

Rangkuman Belanjawan 2011

Cukai perkhidmatan naik kepada 6 peratus

[spoiler]Kerajaan telah mencadangkan cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan yang dikenakan cukai meningkat kepada enam peratus daripada lima peratus pada masa ini untuk menjana pendapatan cukai tambahan bagi pembangunan nasional.

Tarikh berkuatkuasa pelaksanaan cadangan ini ialah pada 1 Januari 2011.

Ia terkandung dalam cadangan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini.

Kadar ini tidak diaplikasikan ke atas kad kredit di mana cukai perkhidmatan dicajkan pada kadar khusus RM50 setahun ke atas kad utama dan RM25 untuk kad kedua. – BERNAMA [/spoiler]

Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh untuk tetapkan upah pekerja
[spoiler]Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis berkenaan akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Beliau berkata, sekretariat bagi majlis berkenaan adalah Kementerian Sumber Manusia.

“Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan berbanding RM610 sebulan pada 1 Julai lalu dan dengan kenaikan itu, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap.

Bagi pengawal keselamatan pula, beliau berkata kerajaan akan menguatkuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 dan RM400 pada masa ini.
“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai Januari tahun depan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor dan pada masa sama, majikan akan diwajibkan memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

Najib berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen iaitu sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih di seluruh negara.

“Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada,” katanya.

Najib berkata, antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam ialah Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan kelas muzik manakala di hujung minggu, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk memasak, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

Katanya, program berkenaan juga mencakupi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal. – BERNAMA [/spoiler]

Elaun pemimpin masyarakat dinaikkan kepada RM800 sebulan
[spoiler] Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.

“Kerajaan akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, di sini hari ini.

Najib berkata elaun bulanan Imam akan dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini.

Ia akan berkuatkuasa Januari tahun depan, katanya.

Najib berkata sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.
“Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya. – BERNAMA [/spoiler]

PTK diganti sistem penilaian baru Jun tahun depan
Kerajaan bersetuju memansuhkan sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Berucap membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata ia adalah usaha berterusan kerajaan bagi menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam.

Kadar tol PLUS tak dinaikkan dalam masa 5 tahun
[spoiler]Bagi meringankan beban pengguna lebuh raya, kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen hari ini, berkata langkah itu adalah kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.

Bagi memperluas perkhidmatan kesihatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat serta peralatan perubatan.

Beliau berkata sejak tahun lalu, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah klinik berkenaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat,” katanya. – BERNAMA [/spoiler]

Cukai jualan telefon mudah alih dimansuh
[spoiler]Kerajaan bercadang mengecualikan cukai jualan untuk telefon mudah alih, berkuatkuasa 4 petang tadi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

“Bagi mengharmonikan layanan cukai ke atas “Personal Digital Assistant” (PDA) dengan “Global System Mobile” (GSM) dan telefon mudah alih biasa, kerajaan mencadangkan telefon mudah alih dikecualikan daripada cukai jualan,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, telefon mudah alih biasa tertakluk kepada 10 peratus cukai jualan sedangkan PDA dan GSM, yang juga berfungsi sebagai telefon mudah alih, diberikan pengecualian cukai menerusi Perintah (Pengecualian) cukai jualan 2008.

Oleh itu, layanan cukai jualan ke atas telefon mudah alih dan peralatan lain mungkin berfungsi sebagai telefon mudah alih seperti PDA dengan GSM, tidak sama. – BERNAMA [/spoiler]

PERINGATAN: Informasi di blog ini dipetik dari pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Sebarang tips kesihatan perlulah mendapatkan nasihat pakar.
Tags: , , , , ,

About mazuki

Mazuki is the founder and editor of selangor2u.com

More in this category (Dalam Negara)

Subscribe to Comments RSS Feed in this post

2 Responses

Pingbacks/Trackbacks

Page 1 of 11

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*