Seperti yang kita ketahui, Transformers: Dark of the Moon iaitu sekuel ketiga siri Transformers telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 29 Jun yang lepas. Sekuel ini yang dinanti-nantikan oleh berjuta-juta peminat Transfomers seluruh dunia mendapat sambutan yang amat mengagumkan sehinggakan penjaga kaunter tiket di pawagam hanya mampu menjawab, “Maaf bang, tiket dah habis”. Namun, setelah berhari-hari mencuba akhirnya penulis dan Admin berjaya mendapatkan tiket pada malam semalam…
Plot dan Jalan Cerita.
Filem dimulakan dengan penemuan dari misi Apollo 11 iaitu misi pendaratan manusia pertama ke bulan dimana angkasawan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin (boleh google kalau tak tahu siapakah gerangannya mereka haha) telah menemui bangkai kapal angkasa makhluk asing iaitu dari Cybetron. Misi ini telah dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai untuk mengelakkan kekacauan dan gundah gulana, namun ingin ditegaskan bahawa ini hanyalah fiksyen sains sahaja, jangan percaya pulak haha
Watak hero yang dimainkan oleh Shia LaBeouf sebagai Sam Witwicky memulakan harinya dengan dikejutkan oleh teman wanita barunya (atau isteri??), Carly yang dimainkan oleh super model Rosie Huntington-Whiteley. Sam yang baru diambil bekerja setelah sekian lama menganggur dikejutkan oleh rahsia kerajaan yang telah disimpan selama 50 tahun (Apollo 11 dan lain-lain) dan mendapat tahu tentang kewujudan Sentinel Prime.
Sam membawa berita tersebut kepada rakan Autobotnya dan ini mengejutkan Optimus Prime kerana Sentinel Prime adalah mentornya yang disangka telah lama mati dan hilang semasa ekpedisi mencari planet baru untuk warga Cybetron. Optimus Prime segera menuju ke bulan untuk membawa pulang mentornya dan menghidupkannya semula menggunakan ‘Matrix of Leadership‘.
Setelah dihidupkan, amatlah mengejutkan apabila Sentinel Prime berpaling tadah setelah bersepakat bersama Megatron lama sebelum ekspedisi itu lagi dan Sentinel Prime bekerjasama dengan Megatron untuk membina semula kediaman mereka iaitu Cybetron di planet bumi…. Apakah tindakan dari Autobot bagi menghalang Decepticon dan Sentinel Prime?? Apakah nasib bagi penduduk bumi?? untuk menjawab persoalan tersebut disarankan pembaca untuk menonton sendiri dipawagam lah ye hehe
Watak-Watak Penting.
1. Optimus Prime (Peterbilt 379 heavy duty truck) - Pemimpin Autobot dan waris terakhir keturunan Prime. Penambahan kepada Optimus Prime apabila ia menarik sebuah trailer G1 dibelakangnya yang dipenuhi dengan pelbagai senjata milik Jetfire sebelum ini.
2. Ironhide (GMC Topkick C4500) – Orang kanan Optimus Prime juga weapon specialist bagi Autobot, terkenal dengan kebengisannya dan amat digeruni oleh Decepticon, watak Ironhide telah dibunuh oleh Sentinel Prime. Hero kesayanganku gugur di medan….
3. Ratchet (Hummer H2) – Pegawai perubatan Autobot, warna yang diubahsuai dari 2 siri sebelum ini, bertukar dari kuning kepada hijau. Wataknya kali ini agak kurang menyerlah dan hanya mengeluarkan sepatah dua kata sahaja.
4. Bumblebee (Chevrolet Camaro SS) – Watak peninjau dari Autobot yang juga merupakan Guardian dan sahabat Sam Witwicky. Menjadi kegilaan ramai dengan perwatakannya yang lucu. Juga telah menaikkan semula saham Chevrolet haha
5. Sideswipe (Chevrolet Corvette Stingray Concept) – Askar bawahan Autobot yang terkenal dengan aksi akrobatiknya dan sikapnya yang Cool. Suka menunjuk-nunjuk kehebatannya namun masih tetap cool….
6. Dino (Ferrari 458 Italia) – Juga askar bawahan Autobot yang selalu dilihat berganding bersama Bumblebee dan Sideswipe. Nama Dino diambil dari nama anak pengasas Ferrari sendiri iaitu mendiang Alfredo “Dino” Ferrari.
7. Sentinel Prime (Rosenbauer Panther 6X6) – Seorang Komander dan saintis dari Cybetron yang memulakan ekspedisi mencari planet lain untuk membina semula Cybetron. Amat digeruni oleh Autobot dan Decepticon oleh perisai dan senjatanya, Primax Blade.
8. Megatron (Mack 10-wheeler) – Ketua Decepticon, sekali lagi mengalami pengubahsuaian apabila mengambil platform lori buruk pula kali ini. Ubahsuai kali ini amat bersesuaian dengan wataknya yang membawa diri jauh entah kemana. Kesan luka masih terdapat diseluruh badannya selepas bertarung pada episod 2.
9. Starscream (Lockheed Martin F-22 Raptor) – Orang kanan Megatron yang terkenal dengan sifat pengecutnya. Namun kali ini beliau berjaya dihapuskan.
10. Dan pelbagai lagi watak sampingan seperti Shockwave, Soundwave, Leadfoot, Roadbuster, Wheelie, Brain, Laserbeak, Wheeljack dan lain-lain.
Komen dan Pendapat Peribadi.
Sekuel yang amat menarik hasil dari arahan Mihael Bay walaupun agak perlahan jalan ceritanya pada sejam yang awal. Namun kebosanan itu dapat dihilangkan dengan aksi-aksi dari Autobot yang baru seperti Dino yang digandingkan bersama Sideswipe dan Bumblebee. Efek dan CGI yang dihasilkan juga amat berkualiti dan berbaloi untuk ditonton.
Sedikit kepincangan pada kronologi dan watak kerana pada episod kedua, Revenge of the Fallen, Jetfire iaitu salah seorang elder dari Decepticon ada mengatakan bahawa terdapat 7 orang Prime yang asal namun 6 daripadanya mengorbankan diri untuk menyembunyikan ‘Matrix of Leadership’ daripada seorang Prime yang berwatak antagonis iaitu Megatronus Prime a.k.a The Fallen. Namun, kali ini entah dari mana muncul pula Sentinel Prime. Mungkin beliau juga adalah anak cucu cicit dari 7 Prime yang asal seperti Optimus Prime? Tak tahu lah nak ngomennye….
Jika benar Megatron sudah lama berpakat dengan Sentinel Prime untuk menjajah bumi dan tahu tentang lokasi Sentinel Prime terkandas, mengapakah Megatron tidak membeitahu tuannya iaitu The Fallen tentang kewujudan Sentinel Prime? Kerana diketahui bahawa The Fallen memang tidak mahu keluar dari persembunyiannya selagi masih ada keturunan Prime yang hidup.
Juga, 7 Prime yang asal telah menetapkan bahawa mereka akan mencari planet yang baru namun planet yang berpenghuni tidak akan diapa-apakan. Tetapi Sentinel Prime yang juga seorang keturunan Prime nyata mempunyai prinsip berbeza yang mahu menghancurkan bumi.
Apa-apa pun, kita serahkan kepada penonton sendiri untuk menilai, kerana ini hanyalah pendapat peribadi sahaja. Bagi penulis, ianya masih lagi sebuah filem yang sangat memuaskan dan rugi kalau terlepas peluang menontonnya.
Rating: 9.5/10
P/S: Meleleh tengok awek baru Sam Witwicky… bibir ala-ala Angelina Jolie gitu.. hahaha
















