Web
Analytics
Together We Share

Majlis Penyerahan Proton Exora Range Extender Electric Vehicle (REEV)

PUTRAJAYA: Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) pada Rabu menyerahkan tiga unit model Saga ‘Electric Vehicle’ (EV) dan lima unit ‘Range Extender Electric Vehicle’ (REEV) bagi membantu kerajaan menilai potensi teknologi hijau dalam pembangunan sistem dan infrastruktur kenderaan elektrik dan hibrid di Malaysia.

Penyerahan kenderaan itu ialah kepada pejabat Perdana Menteri serta empat lagi kementerian iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

 

Pengerusi Proton Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta menteri yang mewakili kementerian masing-masing pada majlis yang diadakan di pejabat Perdana Menteri di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Penasihat Proton.

Penyerahan kenderaan itu memenuhi fasa pertama Program Kenderaan ‘Fleet Test’ yang merupakan usahasama antara Proton, KeTTHA dan MITI bertujuan mendapatkan maklum balas serta data mengenai penggunaan kenderaan elektrik Proton merangkumi sistem, teknologi dan reka bentuk kenderaan serta tingkah laku pengguna.

Proton Saga ‘EV’ merupakan sebuah kenderaan elektrik manakala Proton Exora ‘REEV’ pula ada sebuah kenderaan elektrik penambah jarak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KeTTHA di sini hari ini, Proton turut menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan-kenderaan tersebut di premis Pejabat Perdana Menteri serta keempat-empat kementerian yang terlibat.

“Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu-pemandu kenderaan terbabit yang akan dikenal pasti dari pejabat Perdana Menteri dan keempat-empat kementerian tersebut,” kata kenyataan itu. -BERNAMA

PENGUMUMAN-AMARAN-PENTING!!! Selangor2u Blog merupakan arkib artikel yang dimana kami menulis sejak 2008 dahulu. KINI kami kembali menulis root domain kami iaitu selangor2u.com. Teruskan membaca perkongsian terbaru kami di Selangor2u 2018
Kami tunggu anda disana!!!!