Model Kereta Termahal Dunia – 12 Kali Ganda Harga Kereta Sebenar
Robert Gülpen, pembuat model kereta dari Jerman telah menghasilkan sebuah replika kereta Lamborghini Aventador diperbuat daripada karbon, emas platinum, dan dihiasi dengan batu permata.
Robert Gulpen yang mengklasifikasikan hasil kerjanya itu sebagai “Hasil Seni Berteknologi Tinggi” telah bertekad untuk mencipta sesuatu yang unik yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Gülpen mula membuat model kereta kecil daripada logam berharga pada lewat 1990-an dan akhirnya menjadi pereka model kereta terkenal.
Bekas jurutera mekanikal ini mula memutuskan untuk menghasilkan suatu karya terbesar beliau dan telah memilih Lamborghini Aventador LP 700-4 untuk dijadikan replika.
Skala yang digunakan adalah 1:8 dari saiz kereta asal Lamborghini Aventador LP 700-4. Sepertimana kereta asal, badan kereta replika ini juga diperbuat daripada karbon dan ditambah dengan logam dan batu pertama yang kira-kira bernilai €2 juta (RM 8.42 juta).
Logam berkualiti tinggi digunakan untuk menghasilkan rim manakala berlian digunakan untuk menghiasi ruang tempat duduk, steering dan lampu depan kereta replika.
Selama 500 jam dihabiskan oleh Gulpen untuk menghasilkan model kereta termahal dunia ini dan masa yang dihabiskan mungkin berbaloi kerana model kereta ini bakal dijual pada sesi bidaan sama ada di Dubai atau New York pada Disember nanti.
Harga bidaan hanya bermula pada harga €3.5 juta (RM 14.73 juta) namun jika ada yang tidak sabar untuk memilikinya boleh terus membeli model ini pada harga €4.5 juta (RM 19 juta).
Harga asal Lamborghini Aventador LP 700-4 adalah €303,450 (RM 1.3 Juta), lebih kurang 12 kali ganda lebih murah berbanding model yang dihasilkan oleh Gulpen.