Web Analytics
Panduan Percutian Di Selangor2u dan Malaysia

Panduan Bercuti di Langkawi | 20+ Tempat Menarik Di Langkawi

Lebih dari 10 tempat menarik di Langkawi yang kami senaraikan...

Sebut saja Langkawi, mungkin ramai yang dah terbayang-bayang dengan coklat. Mana taknya, setiap kali orang bercuti di Langkawi mesti akan ‘borong’ coklat banyak-banyak! Selain itu, pusat peranginan yang terletak dalam negeri Kedah ini memiliki banyak keistimewaan lain yang menjadikannya lokasi amat sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga.

Jadi, kalau anda bercadang untuk bercuti di Langkawi, jom buat persediaan dan baca panduan ini selengkapnya.

PENGANGKUTAN UNTUK BERCUTI DI LANGKAWI

Seperti yang kita tahu, Langkawi adalah sebuah pulau yang terletak di Utara Semenanjung Malaysia.Selalunya ramai orang akan naik feri atau bawa kereta sendiri. Jika anda dari Kuala Lumpur atau kawasan di sekitarnya, boleh juga pilih sama ada nak menaiki kapal terbang.

i) Penerbangan Ke Langkawi
Ada banyak pilihan syarikat penerbangan seperti MAS, Firefly, Malindo Air, dan Airasia ada menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi. Kalau naik kapal terbang, hanya memakan masa sekitar 1 jam 5 minit untuk sampai ke sana.

Selain Kuala Lumpur, orang yang tinggal sekitar JB dan Penang pun dah boleh ke Langkawi dengan direct flight yang ditawarkan oleh Airasia baru-baru ini. Kalau anda yang dari Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, dan Miri, biasanya kena transit di Kuala Lumpur terlebih dahulu.

ii) Feri Ke Langkawi
Bagi yang nak merasa menaiki feri, boleh masuk ke Langkawi mengikut Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Perjalanan akan mengambil masa sekitar 55 minit dari Kuala Perlis manakala 1 jam setengah dari Kuala Kedah. Apapun, anda dinasihatkan untuk berada di jeti sekitar 2 jam lebih awal sebelum masa berlepas.

Tiket feri boleh diberi secara terus dari kaunter atau secara online melalui laman web http://www.langkawiferryline.com/.

Feri direct dari Penang ke Langkawi pun ada, boleh rujuk laman web

https://www.langkawi-ferry.com/schedule-fare.html untuk harga tiket dan jadual lengkapnya.

iii) Bawa Kereta Sendiri
Sesetengah orang lebih suka bawa kereta sendiri untuk bercuti di langkawi supaya lebih mudah nak bergerak ketika berada di Langkawi. Bagi yang ingin berbuat demikian, terdapat 2 pilihan syarikat feri yang menawarkan servis pengangkutan ini iaitu Langkawi Auto Ekspress dan Langkawi Roro.

Harga berdasarkan CC kereta dan juga caj penumpang. Untuk yang inginkan keselesaan boleh juga tempah tempat duduk VIP. Seeloknya buat tempahan sekurang-kurangnya sehari lebih awal untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Oh ya, ada beberapa dokumen yang diperlukan semasa membuat tempahan online iaitu geran kereta, nama penuh penumpang, dan IC pemandu. Semua dokumen ini akan dihantar kepada pihak kastam.

TEMPAT MENARIK DI LANGKAWI

Bagi yang pertama kali bercuti di Langkawi, ada ‘port’ wajib yang mesti anda kunjungi. Kalau yang dah beberapa kali ke sana pun, ada banyak lagi lokasi baru untuk dilawati sepanjang bercuti di Langkawi bersama keluarga.

MERCU TANDA LANGKAWI

Dataran Lang – Tempat Paling Popular Jika Bercuti di Langkawi/ Foto Kredit: langkawi-info.com

1. Dataran Lang
Inilah antara lokasi mercu tanda Langkawi yang paling dominan. Kalau dah sampai sini, tak sahlah kalau tak selfie dengan arca burung helang yang simbolik dengan sejarahnya. ‘Lang’ bermaksud ‘helang’ dan ‘Kawi’ pula bermaksud ‘perang kemerahan’ dalam Bahasa Melayu lama.

Terletak berhampiran Jeti Kuah, dataran ini dihiasi dengan lanskap indah seperti kolam dan jambatan selain fasiliti yang lengkap termasuklah restoran.

Tasik Dayang Bunting / Foto Kredit: panoramio.com

2. Tasik Dayang Bunting
Tasik Dayang Bunting ini penuh dengan kisah mitos dan lagenda yang masih diceritakan hingga ke hari ini. Sesuai dengan namanya, tasik ini dikenali dengan jajaran bukit yang kelihatan seperti wanita bunting yang sedang berbaring.

Terletak kira-kira 20km dari Pekan Kuah, pengunjung biasanya sampai ke tasik ini dengan menyertai pakej island hopping. Harganya adalah sekitar RM30-RM50, bergantung kepada bilangan peserta dan aktiviti yang ditawarkan.

Selain aktiviti air seperti berkayak, snorkeling, mandi-manda, dan menikmati keindahan alam, anda boleh ke ‘Miracle Border, di mana wujudnya pertemuan antara laut dan tasik. Dengan keunikan semulajadi seperti ini, Tasik Dayang Bunting juga diiktiraf sebagai salah satu lokasi Geopark yang diiktiraf oleh UNESCO.

2 lagi lokasi Geopark yang diiktiraf adalah Kilim Geoforest Park dan Gunung Mat Chinchang Geoforest Park yang juga sesuai menjadi kunjungan ramai.

Kota Mahsuri / Foto Kredit: Travel To Malaysia

3. Kota Mahsuri
Bagi peminat sejarah, mesti tahu cerita rakyat tentang Puteri Mahsuri yang dipercayai telah dianiaya hingga dijatuhkan hukuman bunuh.

Lagenda mengisahkan bahawa apabila ditikam, darah yang keluar berwarna putih.
Makam Mahsuri telah dibina semula dan kini ia dilengkapi dengan muzium, teater tradisional serta rumah Kedah. Perigi Mahsuri juga terdapat dalam kompleks tersebut.

Beras Terbakar / Foto Kredit: en.yelp.my

4. Beras Terbakar
Berbalik kepada kisah Mahsuri tadi, Beras Bakar ini dikaitkan dengan bukti sumpahan Mahsuri. Menurut lagenda, Mahsuri yang difitnah telah bersumpah bahawa pulau ini tidak akan aman sehingga 7 keturunan.

Selepas beberapa bulan kemangkatan Mahsuri, Pulau Langkawi telah ditewaskan oleh Siam hingga semua beras simpanan mereka telah habis terbakar.

Pantai Cenang / Foto Kredit: melancong.com.my

5. Pantai Cenang
Pantai Cenang boleh dikatakan antara tempat paling ‘happening’ di Langkawi. Selain tarikan pantainya, ia menjadi tempat bertumpunya kafe-kafe, bazaar jualan, dan sudah tentu pelbagai aktiviti pantai seperti skydiving, paragliding, dan parasailing.

Memang meriah. Jadi tak hairanlah ada banyak homestay dan hotel yang dibina di sekitar kawasan ini.

Pantai Tanjung Rhu. / Foto Kredit: langkawitrips.com

6. Pantai Tanjung Rhu
Selain Pantai Cenang, Pantai Tanjung Rhu pun tak kurang menarik untuk menjadi tempat anda bercuti di Langkawi. Namun berbanding Pantai Cenang, Pantai Tanjung Rhu tidak begitu sibuk dan kurang pengunjung.

Mungkin kerana ia mempunyai kawasan khas untuk tetamu resort dan dengar katanya orang awam tak dapat masuk ke pantai ini selepas jam 5.30 petang.

Pulau Beras Basah / Foto Kredit: tripadvisor.com

7. Pulau Beras Basah
Satu lagi tempat yang akan dilawati jika anda menyertai pakej island hopping adalah Pulau Beras Basah. Sama seperti Pantai Tanjung Rhu dan Pantai Cenang, anda boleh bermandi-manda dan melakukan aktiviti air di sini.

LAIN-LAIN TARIKAN DI LANGKAWI

Selain tarikan-tarikan di atas, ada banyak tarikan terkini di Pulau Langkawi yang sesuai untuk seisi keluarga. Jika bercuti di Langkawi jangan lepaskan peluang ke tempat ini.

Foto Kredit: orientalvillage.com.my

1. Oriental Village
Oriental Village yang terletak di Burau Bay ini menggabungkan beberapa tempat menarik yang boleh dilawati sekaligus. Memang berbaloi meluangkan masa seharian di sini. Ada banyak pilihan lokasi yang boleh dilawati. Antaranya:
i) SkyCab Langkawi
Harga Tiket: RM55 (dewasa), RM40 (kanak-kanak)
ii) Sky Adventure Park
iii) SkyBridge
iv) F1 Simulator
v) 3D Art Gallery
vi) Sky Dome

Terletak di kaki Gunung Mat Cincang, Oriental Village amat sinonim dengan kereta kabelnya. Bayaran tidak dikenakan bagi kemasukan ke Oriental Village, cajnya hanya dikenakan apabila menyertai aktiviti. Bagi keselesaan pengunjung, tempat membeli-belah, shopping, hotel dan spa juga tersedia bagi anda yang ingin terus menginap di sini.

2. Art In Paradise
Muzium 3D yang dibina di atas tapak seluas1,950 meter persegi ini adalah antara tempat yang sangat mengujakan, terutamanya bagi anda yang bawa anak-anak bercuti.

Banyak tarikan bertema seperti Zon Ilusi Optik, Zon Akuarium, Zon Safari, Zon Fantasi, Zon Klasik, Dan Zon Interaktif yang menjanjikan macam-macam keseronokan.

  • Harga Tiket: RM30 (dewasa), RM20 (kanak-kanak)
Underwater World Langkawi / Foto Kredit: 11street.my

3. Underwater World Langkawi
Seperti Aquaria KLCC, di sini terletaknya akuarium bersaiz gergasi yang dikhususkan untuk meneroka dan melihat haiwan laut puas-puas.

Menariknya, selain haiwan-haiwan dalam laut, anda juga berpeluang menyaksikan penguin dan anjing laut secara live!

  • Harga Tiket: RM36 (dewasa), RM26 (kanak-kanak)
Cabaran bercuti di langkawi
Foto Kredit: Langkawi Skytrex

4. Skytrex Langkawi
Skytrex Langkawi amat sesuai bagi anda yang sukakan cabaran. Anda boleh melakukan jungle trekking dengan cara yang luarbiasa, iaitu dengan memanjat dari kanopi ke kanopi.

Siapa yang gayat, jangan risaulah sebab semua kelengkapan keselamatan tersedia bersama dengan staf yang cekap.

  • Harga Tiket: Sekitar RM55-RM70, bergantung kepada jenis laluan yang dipilih.
Herb Walk Langkawi / Foto Kredit: tripadvisor.com

6. Herbwalk Langkawi
Mungkin destinasi ini tidak sepopular destinasi yang lain, namun mengikut review para pengunjung, mereka sama sekali tidak menyangka ianya boleh menjadi salah satu tempat bercuti di Langkawi yang begitu menenangkan!

Kepada peminat tanaman herba terutamanya, peluang mengenal dan memahami tanaman herba dan kaitannya dengan kehidupan seharian kita.

Believe Langkawi / Foto Kredit: tripadvisor.com

7. 5D Museum – Believe Langkawi
Satu lagi muzium bertema yang menampilkan lukisan-lukisan 3D, lokasi ini juga popular sebagai tempat mengambil gambar.

  • Harga Tiket: RM20 (dewasa), RM15 (kanak-kanak)

‘SHOPPING’ DI LANGKAWI

Sebagai pulau bebas cukai, mesti ramai yang tak mahu melepaskan peluang membeli-belah di sini. antara barangan yang selalu menjadi ‘target’ untuk dibawa pulang termasuklah set pinggan mangkuk, coklat, kain batik, kain pelikat, minyak gamat, dan rokok karton.

Ada banyak kedai-kedai di sekitar Pekan Kuah yang boleh anda kunjungi untuk mendapatkan barangan yang unik dengan harga istimewa. Antaranya di Haji Ismail Group, RAMS, dan Idaman Suri. Boleh juga singgah di Kompleks HIG atau pasar-pasar yang terdapat di sekitar pecan tersebut.

BAJET BERCUTI DI LANGKAWI

Bergantung kepada jenis aktiviti yang ingin anda lakukan, dan tempat yang ingin dikunjungi, anda boleh bercuti di Langkawi dengan kadar yang sederhana.

Namun, bagi yang berminat menyertai sukan air seperti berkayak, jet ski, snorkeling, dan sebagainya.

  • Harga pakej adalah sekitar sekitar RM 200 – RM 500 bagi setiap orang.

INFO TAMBAHAN

Dalam seronok ‘shopping’, jangan lupa bahawa ada had belian juga. Ketika ini kadar pelepasan cukai untuk pelancong yang tinggal di Langkawi melebihi 48 jam adalah sehingga RM500 sahaja.
Untuk info lanjut, boleh layari laman web Kastam Malaysia di http://www.customs.gov.my/ untuk mengetahui jumlah pengecualian cukai yang dibenarkan.

Leave a Reply